Tuesday 12 July 2011

KEWAJARAN USAHA KERAJAAN MEMAJUKAN SUKAN


Bahagian 1
Pengenalan:
- Kepentingan sukan dalam kehidupan telah lama disedari oleh masyarakat dunia.
- Sejarah sukan bermula pada zaman masyarakat Greek purba lagi yang seterusnya
mengasaskan Sukan Olimpik.
- Di Malaysia sendiri, peruntukan yang besar untuk sukan disediakan setiap tahun
dalam Belanjawan atau Bajet Negara.

Isi-Isi bagi Menyokong Usaha Kerajaan – (Jelaskan Kepentingan Sukan)

1. Bersukan dapat menyihatkan tubuh badan manusia.
- Segala kemudahan sukan yang disediakan oleh kerajaan adalah untuk kegunaan setiap lapisan masyarakat.
- Apabila kemudahan sukan dimanfaatkan, kita dapat melahirkan rakyat yang sihat.
- Rakyat yang sihat akan mewujudkan tenaga kerja yang produktif untuk
menggerakkan ekonomi negara.
- Kajian menunjukkan bahawa sukan dapat mengelakkan seseorang daripada serangan penyakit seperti strok, diabetes atau kencing manis, darah tinggi dan barah.
- Sukan dapat membantu meningkatkan pengaliran darah dalam tubuh manusia hatta menjadikan seseorang itu sihat dan bertenaga.
- Rakyat yang sihat penting untuk pembangunan ekonomi negara.

2. Perkembangan sukan juga memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk.
- Kemajuan sukan menyebabkan kewujudan syarikat-syarikat pengeluar barangan sukan seperti kasut, baju, stoking, raket, bola dan pelbagai produk sukan yang lain.
- Kedai-kedai sukan juga dibuka di setiap pelosok negara dan memberikan peluang kepada rakyat untuk berniaga.
- Peluang pekerjaan dapat diwujudkan kepada rakyat negara ini di kilang-kilang berasaskan produk sukan.
- Atlet sukan yang cemerlang seperti Shalin Zulkifli, Lee Chong Wei dan Nicol David dapat menjadikan sukan sebagai sumber pendapatan melalui penajaan.
Mereka juga boleh menjadikan sukan sebagai profesion.

3. Pendapatan negara juga dapat ditingkatkan melalui sukan.
- Penganjuran Sukan Komanwel Ke-16 pada tahun 1998 dahulu menguntungkan
negara dari segi pendapatan.
- Kemasukan pelancong yang ramai menjana ekonomi negara.
- Hak penyiaran eksklusif melalui penganjuran sukan Formula 1 menguntungkan
penganjur.
- Industri sampingan seperti pengangkutan, makanan , media dan pelancongan turut mendapat tempiasnya.
- Pelaburan asing juga dapat ditingkatkan dan Malaysia memperoleh keuntungan
besar dari segi tukaran wang asing.
- Oleh itu, tidak hairanlah setiap negara bersaing untuk menjadi penganjur sukan bertaraf dunia seperti Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia, Sukan Olimpik, dan pelbagai kejohanan yang lain.


4. Sukan sebagai alat perpaduan dan perpaduan antarabangsa.
- Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum. Untuk mengeratkan hubungan antara kaum yang pelbagai itu, sukan merupakan salah satu wadahnya.
- Sukan juga dapat mengikis rasa buruk sangka dalam kalangan pemain dan
penonton.
- Semangat kerjasama dapat dipupuk dalam kalangan pemain.
- Pada peringkat antarabangsa, sukan dapat menjalin hubungan diplomatik dan perbezaan ideologi politik.
- Keamanan dunia dapat dicapai jika setiap negara mengutamakan sukan.
- Sukan dapat mengukuhkan perpaduan umat dan mengikis perasaan perkauman.

5. Kegiatan sukan juga dapat mengurangkan kos perubatan untuk rakyat.
- Sukan menyihatkan rakyat, dan secara tidak langsung kerajaan dapat mengurangkan kos perubatan untuk merawat rakyat.
- Peruntukan yang tinggi untuk kesihatan rakyat dapat dialih kepada sektor-sektor lain yang lebih memerlukan untuk merealisasikan matlamat Wawasan 2020.
- Rakyat yang sihat tidak perlu lagi memikirkan kos perubatan
- Rakyat juga dapat menjimatkan pendapatan untuk kesejahteraan keluarga seperti
mendapatkan keperluan lain seperti makanan, tempat tinggal, pakaian dan melancong.


Penutup

- Prasarana sukan perlu diperbanyak untuk kegunaan rakyat.
- Persepsi rakyat terhadap sukan juga perlu diubah melalui pelbagai program pembangunan sukan.
- Rakyat perlu menyokong usaha kerajaan memajukan sukan.


MD AMIN BIN MD TAFF
Fakulti Sains Sukan
Universiti Pendidikan Sultan Idris

FAKTOR-FAKTOR YANG MENGHALANG PENGLIBATAN PELAJAR DALAM SUKAN

Jika dilihat melalui Falsafah Pendidikan Negara dalam usaha melahirkan pelajar-pelajar yang seimbang dalam aspek rohani, jasmani dan intelek, kokurikulum dapat menyumbang untuk melahirkan pelajar yang seimbang dari semua segi tersebut.

Menurut Mohd Sofian, Aminuddin & Borhan (2002) kokurikulum merupakan suatu pelengkap kepada kehendak dan keperluan kurikulum di mana ia menyediakan pelbagai peluang kepada pelajar untuk menambah, mengukur dan mengamalkan kemahiran, pengetahuan dan nilai-nilai yang telah dipelajari semasa pembelajaran di bilik darjah.

Menurut Crawford dan Godbey (1987) terdapat tiga faktor yang menghalang penglibatan iaitu :

1) Faktor struktur
- faktor-faktor seperti kekurangan kemudahan, peralatan, masa, wang dan maklumat.

2) Faktor interpersonal
- faktor-faktor yang melibatkan interaksi atau hubungan antara individu seperti    
   kesulitan mencari pasangan yang sesuai untuk bermain dalam sukan badminton.

3) Faktor intrapersonal
- faktor melibatkan keadaan psikologi individu yang bertindak menghalang 
   penglibatan aktiviti bersukan. Ini termasuklah tekanan, kebimbangan, budaya, sikap,
   keagamaan, serta kemampuan dan kemahiran diri yang dimiliki.

Ramai pelajar beranggapan kegiatan kokurikulum tidak penting dan banyak membuang masa kerana ianya tidak dinilai sebagaimana kegiatan yang melibatkan akademik. Halangan penglibatan pelajar dalam kegiatan kokurikulum dibebankan lagi dengan pengendalian program-program yang tidak sempurna. Sebagai contoh terdapat aktiviti pada hari kokurikulum hanya dikendalikan oleh kumpulan pelajar yang sememangnya kurang berpengalaman tanpa pemantauan dari guru terlibat. Kesannya pelajar sekolah tidak berminat untuk melibatkan diri.
Menurut Adnan (1990) walaupun sumbangan kokurikulum kepada pendidikan diakui, tetapi konsepnya masih kurang difahami hingga ada yang masih lagi menganggap bahawa kokurikulum sebagai kegiatan luar. Oleh itu, tidak menghairankan jika programnya dilaksanakan secara sambil lewa sahaja dan aktiviti dijalankan secara tergesa-gesa dan tidak diberi keutamaan seperti matapelajaran akademik.
            Menurut Adnan (1990) dan disokong oleh Abu Bakar (1999). Beliau menyatakan antara alasan guru tidak bergiat dalam aktiviti kokurikulum ialah apabila guru merasakan kokurikulum membuang masa pelajar, guru tinggal jauh dari sekolah dan terlalu banyak tanggungjawab. Ada juga guru yang mengendalikan kegiatan kokurikulum kurang pengetahuan dan kemahiran dalam bidang yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah.
Perlaksanaan kokurikulum di sekolah tidak begitu mengalakkan atau tidak mendapat sepenuh
sokongan daripada pelbagai pihak terutamanya guru hingga mengakibatkan pelajar kurang
berminat untuk mengambil bahagian. Kenyataan ini disokong oleh Laporan Kabinet (1979)
yang telah membuat kajian untuk melihat pelaksanaan dasar pelajar meyakini bahawa
kecenderungan guru terhadap sesetengah aktiviti kokurikulum seperti pergerakan beruniform
dan beberapa jenis aktiviti sukan adalah tidak memberangsangkan.
Beberapa faktor utama kurangnya penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum khususnya aktiviti sukan kerana mereka tidak mempunyai semangat kesukanan. Mereka juga menganggap sukan kurang penting dan lebih menganggap pelajaran atau hiburan adalah lebih penting untuk menjamin masa depan yang lebih cemerlang. Kebanyakan pelajar tidak berminat menyertai kegiatan kokurikulum khususnya aktiviti sukan kerana tiada wujud kepuasan disebabkan kurangnya kemudahan sukan, peralatan sukan dan sebagainya.
Sekolah yang menghadapi masalah kewangan dan sistem penjadualan yang tidak teratur dan sistematik.


MOHD JAFLUS BAHARI
Jabatan Pendidikan Jasmani Dan Kesihatan
Maktab Perguruan Islam